Rakan Remaja Penerangan (RRP)

Posted in Entertainment Education on May 27, 2008 by RRP Brunei

Menyorot kembali Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-24 bahawa statistik penyalahgunaan dadah dan indeks jenayah mengalami peningkatan. Keadaan ini mencetuskan kebimbangan baginda kerana kebanyakan mereka yang terlibat terdiri dari golongan para belia dan remaja yang bergelar Tunas Bangsa. Baginda juga menekankan betapa pentingnya semua pihak menyedari dan memberi perhatian yang khusus dalam menangani perkara ini. Antara lain baginda bertitah Ejen pembawa perubahan, seperti institusi keluarga, institusi pendidikan, dakwah, media dan lain-lain, perlu melihat perkara ini dengan keinsafan yang mendalam, supaya kita dapat sama-sama fokus bagaimana mengubat dan sekaligus melahirkan modal insan yang berkualiti.”

 

Beberapa langkah dan usaha telah diambil oleh pelbagai peringkat lapisan masyarakat, kerajaan, swasta, persatuan-persatuan mahupun secara individu ke arah membentuk acuan belia remaja berperibadi.  Banyak program dan agenda baru diwujudkan dan secara tidak langsung senario ini juga turut meningkatkan serta menambahbisaikan lagi kepada usaha-usaha pembangunan belia remaja yang telah sedia ada. Di antara institusi yang di seru untuk sama-sama aktif menangani permasalahan ini ialah institusi media sama ada melalui print, interpersonal atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

 

Menyedari akan perkembangan dunia informasi yang begitu pesat, Jabatan Penerangan dalam usahanya menyebarluaskan maklumat semasa dan kerajaan kepada orang ramai tidak hanya bergantung kepada penggunaan ICT dan media cetak sahaja, malah peranan medium interpersonal komunikasi masih digunakan dan relevan sehingga kini bagi menyalurkan maklumat yang berguna dan menerapkan kesedaran sivik kepada masyarakat. Justeru beberapa aktiviti dan program telah dan akan dilaksanakan ke arah mencapai matlamat ini. Sempena ulangtahun penubuhan Jabatan Penerangan yang ke-56 baru-baru ini satu lagi program telah dilancarkan iaitu program Rakan Remaja Penerangan (RRP). RRP adalah satu pakej persembahan yang merangkumi taklimat, drama, lawak jenaka, kuiz dan pameran.

 

Pelancaran

 

Di majlis pelancaran tersebut, para jemputan yang terdiri dari pengetua-pengetua sekolah, pegawai-pegawai perhubungan awam kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan dan ketua-ketua penuntut telah diberi penerangan mengenai tujuan dan latar belakang program RRP dan seterusnya dibawa menyaksikan persembahan RRP. Langkah pengenalan awal ini bertujuan bagi mempromosi dan memperkenalkan program RRP kepada umum. Antara lain objektif program ini diadakan ialah untuk mendekati golongan remaja terutama di sekolah-sekolah, menjadikan penuntut sebagai rakan penerangan atau ejen penyebaran maklumat dan menanamkan semangat kenegaraan dan rasa tanggungjawab sosial.

 

Sebenarnya program ini sudah pun bermula sejak tahun 2006 lagi. Pada ketika itu ianya dikenali dengan nama program Pendidikan Masyarakat (PENDIMAS). Melalui ‘pilot project’, sebanyak empat persembahan telah diadakan di empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khatab, Lumapas, Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Jerudong, Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Bukit Beruang dan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Rashidah Saadatul Bolkiah, Lumut. Melihat akan sambutan yang menggalakkan dan menerima maklumbalas positif dari program yang telah dijalankan di sekolah-sekolah berkenaan, maka lahirlah RRP sebuah program ‘infotainment’ pendidikan yang lebih fokus menjurus kepada sasarannya iaitu remaja di peringkat sekolah.

 

Format persembahan

 

Bagi memenuhi matlamat yang dihasratkan, Jabatan Penerangan selaku pihak penganjur dan penyelaras memerlukan kerjasama  pihak sekolah, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta artis-artis tempatan bagi menjayakan RRP. Program yang dianjurkan di sekolah-sekolah menengah seluruh negara ini memakan masa sekitar 2 jam. Susunan acara persembahan dimulakan dengan nyayian Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan Lagu Patritotik ‘Bendera Negara’. Mesej dan info semasa disampaikan secara live menerusi beberapa pengisian segmen seperti taklimat kenegaraan, geraklaku drama, lawak jenaka, kuiz dan pameran. Pendekatan dalam bentuk persembahan pentas secara langsung  ini diharapkan mampu memberi kesan dan gambaran jelas terhadap perkembangan dan isu semasa yang berlaku sebagai panduan, iktibar dan pengajaran di samping menanamkan nilai-nilai positif kepada masyarakat khususnya di kalangan remaja untuk terus maju, tangkas dan berjaya.

 

Taklimat Kenegaraan yang disampaikan berkisar mengenai isu-isu semasa dan penghayatan terhadap falsafah negara Melayu Islam Beraja. Sketsa drama dan lawak jenaka yang dibawakan oleh pelakon dan pelawak tempatan mengisahkan pelbagai isu yang berkaitan dengan moral dan masalah remaja. Kuiz RRP menguji minda dan memberi peluang kepada audiens menjawab soalan-soalan yang diberikan mengenai hal ehwal kenegaraan dan kemasyarakatan. Pemenang kuiz RRP juga akan menerima hadiah tajaan dari pihak swasta. Pameran Penerangan menghidangkan bahan berbentuk maklumat umum mengikut tema dan isu semasa di samping mengetengahkan strategi gerak kerja Jabatan Penerangan ke arah membudayakan masyarakat bermaklumat. Selain itu RRP juga mengalu-alukan penglibatan kelab atau persatuan penuntut sekolah berkenaan untuk mempersembahkan koir, syair, puisi, sajak atau apa jua aktiviti kesenian bagi memeriahkan lagi program tersebut.

 

Cabaran dan Isu Remaja

 

Tekanan perubahan dan perkembangan pesat media massa di zaman ledakan teknologi ICT banyak mempengaruhi minda, corak dan gaya hidup remaja. Pada masa yang sama dunia remaja juga berdepan dengan pelbagai cabaran isu atau penyakit sosial seperti gejala dadah, pergaulan bebas, vandalisme, pengaruh budaya negatif, mencuri, buli dan sebagainya. Inilah di antara penyakit masyarakat yang cukup membimbangkan dan menjadi beban di negara maju dan sedang membangun. Isu dan jenayah seperti ini bukanlah masalah baru dan ia perlu pencegahan awal sebelum merebak lebih jauh dan parah lagi.  Masyarakat di negara ini yang sebahagian besarnya terdiri dari golongan remaja, perlu memperlengkapkan diri dengan kepelbagaian disiplin ilmu dan diberikan pendedahan yang positif berunsurkan pendidikan moral, kesedaran hidup berbangsa, beragama, bernegara, bersatu padu, taat setia, patuh kepada undang-undang serta nilai-nilai murni dalam kehidupan.

 

Sebagai sebuah negara yang berfalsafahkan Melayu Islam Beraja, sangat wajar remaja memiliki identiti luhur yang mencerminkan imej yang terpuji dan bersih dari jenayah. Jati diri bangsa dijadikan sebagai utap mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. Sifat beawar galat, bersopan santun, malu melakukan kesalahan dan tidak camah mata merupakan antara beberapa ciri yang melambangkan calak kitani.  Imej seperti ini diadaptasikan dengan pegangan agama dan aqidah yang kukuh akan membantu memagari remaja dari serangan pengaruh negatif. Ringkasnya, dalam menyediakan generasi pelapis yang berkualiti dan penentu masa depan negara, konsep atau falsafah negara perlu ditanai dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian remaja.  Disinilah RRP berperanan memberikan info berguna dan menimbulkan isu-isu berkaitan sambil menyerapkan mesej-mesej pendidikan yang bersesuaian dengan sasaran audiens di kalangan penuntut sekolah di peringkat remaja.

 

Harapan

RRP akan terus bergerak menyalurkan maklumat melalui persembahan pentas di sekolah-sekolah menengah seluruh negara. Pada masa akan datang RRP juga merancang untuk menubuhkan kelab RRP dengan kerjasama pihak sekolah. Mengulas perkara ini ketika ditemui Ketua Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan Awg. Kassim bin Hj Abd Rahman berkata program ini memberikan peluang dan ruang kepada golongan penuntut untuk berinteraksi dengan agensi-agensi kerajaan mengenai sesuatu isu yang diketengahkan. Melalui kelab RRP yang bakal ditubuhkan nanti, para penuntut akan menjadi rakan penerangan dan wakil penyebaran maklumat sama ada melalui taklimat dan bahan terbitan yang diedarkan kepada rakan sebaya. Selain daripada itu, Jabatan Penerangan juga mengalu-alukan penyertaan aktif mereka dalam sama-sama menjayakan program RRP dan berharap program ini akan berterusan serta mendapat sambutan dan kerjasama dari pelbagai pihak terutamanya golongan remaja. Tambahnya lagi semoga dengan adanya program seumpama ini dapat melahirkan generasi belia baru yang lebih berdisplin dan berperanan aktif dalam memacu pembangunan negara.

 

Kesimpulan

 

Apa yang diharapkan, program RRP ini akan menjadi wadah pembentukan minda dan moral remaja, memupuk semangat patriotisme, semangat kekitaan dan menanamkan nilai-nilai positif. Kerjasama dari beberapa agensi-agensi yang berkaitan termasuk pihak sekolah juga adalah sangat diharapkan demi kelancaran dan kejayaan program ini ke arah melahirkan tunas bangsa berkualiti seiring dengan wawasan negara.

 

Tunas bangsa yang sihat menggambarkan kecemerlangan masa depan negara. Proses Pembangunan tunas bangsa akan terus menjadi tumpuan dan tanggungjawab bersama. Kebimbangan, hasrat dan harapan ini juga turut dimanifestasikan oleh pemimpin dan Raja yang kita kasihi melalui titah baginda ”Jika mereka baik, maka kita bolehlah tersenyum lega, tetapi jika mereka menjadi insan yang cair moral, maka akan merintihlah negara memikul bebannya”.